Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya orang dalam partinya sendiri menjadi dalang penyebaran video tular hanya menambah bilangan tuduhan yang dihadapinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, adalah tidak wajar bagi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu membuat tuduhan baharu.

“Saya masih menganggap itu sebagai satu tuduhan yang biasa… saya percaya beri ruang kepada Azmin dan harap dia diberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian sukar ini.

“Saya kenal beliau (Azmin) lama berpuluh tahun berjuang bersama-sama dan kita fokus isu ini tidak kemudiannya menyebut satu lagi tuduhan di atas tuduhan semasa yang sedang dihadapi beliau.

“Sekarang dia sedang hadapi simpati parti kepada beliau dan satu tuduhan tidak boleh dibaiki dengan satu lagi tuduhan. Ia seolah tiada kebijaksanaan,” katanya ketika ditanya pemberita di Majlis Rumah Rerbuka Aidilfitri anjuran Pembangunan Industri Kewangan Malaysia (MIDF) hari ini.

Dalam perkembangan sama, Saifudin Nasution yang juga Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim mendesak semua pihak termasuk Mohamed Azmin supaya memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Beri ruang bermaksud beri kerjasama polis menjalankan siasatan tanpa gangguan, bukannya dalam bentuk buat atau melayan tuduhan baharu,”ujarnya lagi.

Justeru katanya perkembangan itu akan dibincangkan esok dalam Mesyuarat Biro Politik PKR dan parti itu dan akan terus memantau kes tersebut.

Mohamed Azmin dalam satu majlis di Shah Alam pagi tadi menyatakan keyakinan dalang dalam PKR sendiri menularkan video yang dikaitkan dengannya bersama Haziq Abdul Aziz.

Malah beliau yang mengakui perkara itu selepas ditanya jika beliau yakin ia perbuatan ‘orang dalam’ susulan ‘kehilangan’ seorang pemimpin PKR sebuah negeri, berkata ketika ini masyarakat umum juga sudah dapat menilai sendiri siapa dalang di sebalik perbuatan penyebaran video berkenaan, kira-kira seminggu selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.

Saifuddin turut diminta mengulas mengenai kehilangan seornag pemimpin PKR yang dikaitkan dengan skandal politik itu sebelum menjawab :”Saya pun juga kehilangan beberapa pemimpin yang lama tak jumpa lagi.. sekarang dah berapa Syawal dah.. maka biar polis uruskan dan siasat kes video ini”.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/18/saya-yakin-orang-dalaman-pkr-jadi-dalang-azmin/