Mohamed Azmin Ali. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memberi keterangan berhubung penyebaran video seks luar tabii kepada polis semalam.

Keterangan itu bagi membantu siasatan polis terhadap kes berkenaan selepas Setiausaha Politik Azmin, Muhammad Hilman Idham membuat laporan polis berhubung satu video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bersama seorang lelaki, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Peguamnya, N. Surendran berkata, pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu telah dihubungi polis pada 16 Jun lalu untuk merekodkan kenyataan Azmin sebagai sebahagian daripada siasatan kes itu.

“Mengutamakan perkara itu, semalam 17 Jun, Dato ‘Seri Mohamed Azmin memberi kenyataan kepada polis untuk membantu mereka dalam penyiasatan,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Surendran berkata, penyebaran video luar tabii itu adalah satu fitnah dan bermotifkan serangan politik ke atas Azmin.

Kata peguam, terdapat tanda-tanda jelas mengenai percubaan yang teratur dan sistematik untuk merosakkan nama baik dan menjatuhkan menteri berkenaan dengan serangan palsu dan berniat jahat ini.

Para pelakunya mempunyai akses kepada data peribadi ahli-ahli parti, cara-cara yang canggih dan agenda politik yang jelas, tambah beliau lagi.

“Kami percaya polis dapat menyelesaikannya dan mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap pelaku mengikut undang-undang,” ujarnya.

Beberapa gambar dan video intim’ mirip menteri itu tersebar pada 11 Jun lalu.

Selain itu, beberapa transaksi wang keluar negara melibatkan Maybank dan Deutsche Bank yang bernilai ratusan ribu dolar Amerika turut disebarkan.

Gambar-gambar dan video berkenaan telah disebarkan melalui satu grup WhatsApp diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’.

Isu penyebaran video itu semakin panas apabila individu yang dirakamkan dalam video intim  bersama seorang yang didakwa menteri kabinet membuat pengakuan bersumpah.

Dalam pengakuannya, lelaki yang bernama Haziq itu memaklumkan beliaulah orang yang bersama dengan lelaki yang mirip menteri berkenaan.

Haziq adalah Setiausaha Sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Dia mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan. – MalaysiaGazette