TOKYO – Harga minyak stabil dalam dagangan hari ini, didorong peningkatan ketegangan di Timur Tengah dan tanda-tanda pertumbuhan ekonomi terjejas oleh pertikaian antara Amerika Syarikat dan China.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$0.04 sen kepada AS$ 60.98 setong pada 0055 GMT, selepas jatuh 1.7 peratus pada sesi ekoran kebimbangan pertumbuhan global yang perlahan.

Manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula susut AS$0.01 kepada AS$ 51.92.

Rizab Persekutuan New York memaklumkan pertumbuhan perniagaan di New York mencatat kejatuhan rekod bulan ini kepada tahap paling lemah dalam lebih daripada 2 1/ 2 tahun, disebabkan penguncupan mendadak dalam aktiviti serantau.

Sentimen perniagaan Amerika Syarikat lemah kerana ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat meningkat dan tanda-tanda perlahan dalam pasaran buruh semakin jelas.

Harga minyak telah jatuh sekitar 20 peratus sejak paras tinggi 2019 yang dicapai pada bulan April, sebab utamanya adalah kebimbangan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat dan data ekonomi yang mengecewakan.

Donald Trump dan Xi Jinping akan bertemu pada Sidang Kemuncak G20 di Jepun pada bulan ini.

Trump mengesahkan akan bertemu Xi nanti meskipun Presiden China belum mengesahkan kehadirannya pada sidang tersebut.

Harga minyak terus mengalami tekanan selepas Jabatan Tenaga Amerika Syarikat berkata, pengeluaran minyak syal dijangka mencecah rekod pada Julai ini.

Tetapi ketegangan di Timur Tengah akan terus memberi sokongan kepada harga minyak, kata penganalisis. – MalaysiaGazette