Presiden Iran, Hassan Rouhani ketika melawat Loji Nuklear Bushehr. foto AP

TEHRAN – Iran akan melanggar perjanjian had stok pengayaan uraniumnya yang ditetapkan dalam perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa-kuasa dunia pada 27 Jun ini.

Agensi Tenaga Atom berkata, Tehran telah meningkatkan kadar empat kali ganda bahan yang digunakan untuk membuat bahan bakar reaktor dan senjata nuklear.

Tetapi ia menambah, “masih ada masa” untuk negara-negara Eropah bertindak dengan melindungi Iran daripada sekatan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat yang menarik balik perjanjian itu, menuduh Iran melakukan ‘pemerasan nuklear’

“Ini merupakan corak tingkah laku 40 tahun, ia konsisten dengan bagaimana regim Iran bertindak,” kata jurucakap Jabatan Negara, Morgan Ortagus.

Mengikut perjanjian nuklear 2015, Tehran dibenarkan menghasilkan uranium diperkaya rendah dengan had sebanyak 300 kilogram serta boleh menghantar jumlah melebihinya keluar dari negara itu untuk simpanan atau dijual.

Iran berkata, had itu tidak lagi terpakai selepas Amerika Syarikat menarik balik perjanjian tersebut.

United Kingdom, Perancis dan Jerman memberi amaran kepada Iran supaya tidak melanggar perjanjian pada 2015.

Dalam perkembangan berasingan, Iran berkata, negara itu telah mematahkan rangkaian pengintipan siber yang dijalankan oleh CIA dan beberapa pengintip telah ditangkap di negara-negara lain.

Namun, Amerika Syarikat belum mengulas kenyataan tersebut.

Pada awal bulan Mei, Iran telah memberi isyarat hasratnya untuk keluar dari beberapa kekangan yang dikenakan dalam perjanjian nuklear.
Isnin lalu, Tehran mengulangi ancaman tersebut sambil menambah bahawa kadar pengayaan sedang dinaikkan dan ia dijangka meningkat had pengayaan uranium sebelum akhir bulan ini.

Tetapi sejak pengumuman pertama, konteksnya telah berubah secara dramatik dengan dua serangan terhadap kapal tangki minyak di Teluk – yang didakwa oleh Amerika Syarikat dilakukan oleh Iran.

Tetapi Iran menafikan sebarang pembabitan.

Pada masa ini, ramai yang bimbang Washington dan Tehran semakin hampir kepada pertembungan tentera.

Iran pula meningkatkan ancaman pada hari ini dengan meningkatkan paras pengayaan kepada peringkat bahan-bahan ‘gred-senjata’ yang menambahkan satu lagi elemen risiko. – MalaysiaGazette