Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas meyokong usaha untuk menambahbaik mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah), tetapi bukan melibatkan orang bukan Islam.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, apa yang dicadangkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam hal itu memperlihatkan beliau sedang membuka ruang seluasnya kepada orang bukan Islam untuk campur tangan urusan orang Islam.

“Walaupun hantaran yang dibuat oleh Nie Ching dalam akaun Facebook semalam telah dipadamkannya, tetapi kandungan hantaran itu masih disiarkan di laman sesawang rasmi Kementerian Pendidikan, amat mendukacitakan kerana beliau turut mahu melibatkan orang bukan Islam dalam perkara ini.

“Adakah perkara ini usaha peribadi beliau atau inisiatif rasmi kementerian? Jika ia adalah inisiatif rasmi kementerian mengapa tidak menteri sendiri yang beragama Islam mengumumkan mengenainya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai dari DAP itu menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya memaklumkan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) telah ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) Kementerian Pendidikan pada 15 April lalu.

Dakwa beliau, penubuhan pasukan itu untuk mengkaji pelbagai aspek mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah) dan mencadangkan penambahbaikan yang bermanfaat kepada semua murid, guru, ibu bapa dan masyarakat Malaysia amnya.

“Untuk tujuan itu, kami ingin menjemput individu, kumpulan dan institusi tanpa mengira agama dan bangsa untuk berkongsi isu dan cabaran serta mengemukakan cadangan untuk menambah baik dan membawa kemajuan kepada Pendidikan Islam melalui tinjauan ini di pautan yang tertera di bawah,” tulis beliau.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin, Dr. Maszlee Malik lebih sesuai mengumumkan cadangan itu memandangkan beliau mengetahui perkara yang menyentuh kepentingan Islam dan umat Islam seperti itu amat sensitif, lebih lagi di era Malaysia Baharu.

Ujar beliau, Kementerian Pendidikan juga perlu menjelaskan sama ada penglibatan orang bukan Islam itu hanya dalam kajian tinjauan dalam talian sahaja atau turut dilantik menganggotai PPKPI.

“Kita tuntut kerajaan PH segera mendedahkan anggota PPKPI itu kepada orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette