Datuk Mazlan Mansor
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Penyerahan Kenderaan Kepada PDRM oleh MRCB George Kent Sdn Bhd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2019

SHAH ALAM – Insiden penculikan membabitkan 10 anak kapal bot nelayan rentas sempadan berhampiran perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina awal pagi tadi bukan rakyat tempatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan bahawa kesemua mangsa yang diculik tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, mangsa terbabit ketika diculik berada di dalam kawasan perintah berkurung (ESSZONE) dan dalam perairan negara berhampiran Felda Sahabat.

“Ini warganegara asing yang berkemungkinan dari Indonesia atau negara jiran lain tetapi siasatan masih dijalankan.

“Kita percaya mereka yang diculik adalah nelayan kerana kejadian berlaku pada jam 2.45 pagi iaitu masa untuk menangkap ikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Datuk Mazlan Mansor
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tengah) mendengar penerangan mengenai motorsikal berkuasa tinggi dari Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan (tiga kiri) pada Majlis Penyerahan Kenderaan Kepada PDRM oleh MRCB George Kent Sdn Bhd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2019

Awal pagi tadi, seramai 10 kru bot nelayan dipercayai diculik penjenayah rentas sempadan berhampiran perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Dua bot dinaiki 16 kru itu dipercayai berada di perairan Tambisan dalam perjalanan ke Semporna, sebelum didatangi kumpulan bersenjata menggunakan bot laju, kira-kira jam 2 pagi.

Setakat ini, difahamkan semua mangsa yang diculik adalah lelaki, pemegang dokumen Lepa-Lepa, berusia antara 17 tahun hingga 60 tahun.

Mazlan juga berkata, semua nelayan itu menaiki dua bot bersama enam lagi yang tidak diculik.

Katanya, seorang daripada nelayan yang selamat itu mempunyai pas Imigresen dari Sabah.

“Kita sedang menyiasat siapa terbabit menculik semua nelayan ini selain turut menjalankan siasatan mengapa bot yang mereka kendalikan berada dalam kawasan perintah berkurung itu.

“Ini menjadi persoalan. Jika nelayan tempatan, mesti tahu kawasan itu kawasan larangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette