Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda bercakap pada sidang media Cuepacs dan esatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) di Wisma ANULAE, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAIZI, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Penjawat awam di negara ini perlu menunjukkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, mereka harus ingat yang bertukar hanya kerajaan, sedangkan kementerian, pejabat dan jawatan mereka kekal.

“Saya nak semua penjawat awam tumpu pada bidang tugas masing-masing dan tunjukkan taat setia tak berbelah bahagi kepada kerajaan PH. Perlu ingat, yang bertukar adalah kerajaan.

“Kita dilantik oleh kerajaan dan bekerja pun untuk kerajaan. Kita sokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya penjawat awam kena berubah dan setia kepada kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) dan jamuan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Azih mengulas pendedahan Dr. Mahathir baru-baru ini bahawa ada kakitangan awam yang mahu kerajaan PH ditumbangkan dan mengembalikan kerajaan yang membenarkan rasuah supaya lebih menguntungkan mereka.

Perdana Menteri berkata, ada kalangan penjawat awam berpendapat kerajaan sekarang tidak sebaik kerajaan sebelum ini kerana kerajaan PH tidak membenarkan mereka menerima rasuah.

Mengenai cadangan kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan, Azih yang juga Presiden Anulae menjelaskan, pihaknya tidak bersetuju cadangan itu kerana akan memberi kesan kepada penjawat awam.

Katanya, Cuepacs dan Anulae mahu kerajaan kekal seperti sekarang, dengan menambah baik kemudahan kepada penjawat awam tanpa menubuhkan Suruhanjaya PBT. – MalaysiaGazette