Raj Munni Sabu
Raj Munni Sabu

KUALA LUMPUR – Wanita Pakatan Harapan (PH) mendakwa Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) telah membuat fitnah terhadap kerajaan itu dengan menuduh agenda PH menjauhkan golongan wanita dari Islam.

Ketua Penerangannya, Senator Raj Munni Sabu menyifatkan, Ketua DMPM, Nuridah Mohd salleh sebagai terdesak dan sukar berlapang dada selepas Pas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Katanya, berbanding 60 tahun kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN), hanya selepas PH mengambil alih pemerintahan, golongan wanita mendapat pembelaan sewajarnya dan diberi tempat seiring dengan lelaki.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia memberi contoh, kerajaan PH telah melantik Dr. Hasnita Hashim yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Oxford sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Datuk Junaidah Kiting untuk mengepalai Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ujar beliau, kerajaan PH juga melantik Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara, Tan Seri Zeti Aziz Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB); dan terbaharu yang turut mendapat sokongan Pas sendiri ialah pelantikan Lathefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

“Kebanyakan pelantikan ini merupakan “history” bagi negara ini, khususnya “history” kepada sejarah pemberdayaan dan positioning wanita dalam peranan berkerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sabtu lalu, ketika menyampaikan ucapan dasar DMPM pada Muktamar Muslimat Pas di Kuantan, Nuridah menyentuh beberapa kandungan utama melibatkan kemelut yang menghambat kesejahteraan wanita, keluarga dan masyarakat dalam ucapan dasar pada muktamar dewan itu, pagi ini.

Katanya, persoalan yang berbangkit pada hari ini, sejauh manakah wanita dihormati dan diperlakukan seadilnya sebagai seorang individu atau sekumpulan manusia yang memiliki hak dan tanggungjawab yang sama dengan kaum lelaki.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana polisi dan undang-undang yang ada memberikan perlindungan, mencegah dan menyelamatkan wanita daripada dicerobohi haknya.

Menurut Raj Munni, kerajaan PH telah mengangkat martabat wanita melalui tindakan memberikan kepercayaan serta peranan yang lebih besar kepada golongan hawa dalam pelbagai posisi penting dan strategik dalam pembinaan semula negara.

Tegas beliau, sebelum ini, Nuridah juga telah memfitnah apabila mendakwa kononnya tiada sekolah agama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepertimana yang dilapor oleh lidah rasmi parti itu, Harakah. Itupun dilakukan olehnya di dalam Dewan yang mulia iaitu Dewan Negara, Parlimen Malaysia.

“Akibatnya beliau telah ditegur oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh ketika dalam ucapan penggulungan setiap kementerian, menyebabkan Ketua DMPM itu meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu.

“Bagaimanapun, akibat kelalaiannya isu ini kembali menjadi berita fitnah yang disiarkan pula oleh lidah rasmi Pas, Harakah cetak yang difahamkan telah mengambil teks perbahasan Nuridah.

“Kesannya, fitnah jahat tersebut sekali lagi berkembang ke seluruh negara dan dunia. Pun begitu, tiada sebarang usaha pembetulan yang diambil oleh beliau, seolah-olah hal fitnah ini adalah perkara kecil sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette