Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan) beramah mesra bersama pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Bhd (MIDF) 2019 di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Pandangan dan desakan Otai Reformis yang mahu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berundur dari jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak akan mengubah formula parti yang telah dipersetujui sebelum ini.

Formula yang telah dipersetujui pada 6 Januari 2018 pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) jelas menetapkan Wan Azizah adalah TPM dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula bakal pengganti Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, PH harus diberi ruang bergerak sebagai kerajaan dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat seperti yang dijanjikan.

“Kita pegang kepada tiga perkara yang dicapai dalam Konvensyen PH tahun lalu iaitu kalau menang PRU-14, PM adalah Tun Mahathir, TPM adalah Wan Azizah dan Anwar Ibrahim pengganti PM.

“Maksudnya PH walaupun di luar pelbagai ulasan dan pandangan tertimbul, pendirian kami kekal pada pelan asal.

“Dua sudah dilaksanakan (PM dan TPM) kini tunggulah satu lagi (Anwar pengganti PM), jika ada desakan sana sini, Otai Reformis, itu hanyalah sebagai asam garam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri MIDF hari ini.

Beliau mengulas tindakan Otai Reformis yang mahu kerajaan menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar sebagai PM dan desakan segelintir wakil rakyat Bersatu yang mahu Wan Azizah berundur sebelum Anwar dilantik.

Ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim itu bagaimanapun tidak berganjak dari pendirian asal yang dimeterai PH tahun lalu dan tidak perlu tunduk kepada desakan mana-mana pihak.

“Ia adalah keputusan bersifat konsensus dan bukannya majoriti dan kita stick with pelan asal itu,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.