Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin (tengah) beramah mesra dengan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Risda, Datuk Nasarudin Malek (kiri) serta yang lain sambil diperhatikan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Rosely Kusip (kanan) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda 2019 di Ibu Pejabat Risda, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet telah memberikan komitmen yang padu dalam memastikan negara berada dalam landasan yang betul.

Lantaran itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Jidin berkata, rakyat tidak perlu melahirkan kebimbangan mereka terhadap situasi ekonomi negara yang didakwa semakin bertambah buruk hampir setiap hari.

“PM memberi komitmen bahawa kami akan memberikan yang terbaik, bekerja keras dan betulkan perkara itu dan letakkan negara di landasan yang betul.

“Kami mula mula melihat hasilnya, percaya rakyat boleh merasa manfaat yang kita lakukan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda 2019, hari ini.

Radzi menggantikan Menterinya, Datuk Seri Azmin Ali yang tidak hadir dalam majlis berkenaan.

Senator itu menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram semalam.

Dr Jomo berkata, rakyat Malaysia perlu bersedia mengharungi tempoh sukar pada masa akan datang memandangkan ekonomi kini berdepan isu sebenar, di tengah-tengah situasi luaran yang tidak dapat diselesaikan.

Meskipun kebanyakan masalah itu berada di luar kawalan kerajaan Malaysia namun rakyat perlu bersedia untuk melalui keadaan itu.

Mengulas lanjut, Dr Radzi berkata, komitmen itu memastikan negara berada dalam landasan yang betul sememangnya mencabar namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap komited merealisasikan perkara itu.

“Kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan ekonomi. Ekonomi global sangat mencabar tetapi kami masih memastikan ekonomi negara terus berkembang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette