Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bercakap kepada media pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Must Ehsan Development SDN BHD Bersama Konsortium PNSB - MGB dan Majlis Idaman Warisan di Bangunan SUK, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2019

SHAH ALAM – Penyebaran video intim songsang yang didakwa melibatkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipercayai didalangi oleh ‘orang dalaman’ parti itu.

Mohamed Azmin berkata, beliau tidak ragu-ragu mengenai dalang di sebalik penularan dan pembikinan video berkenaan yang cuba menjejaskan reputasinya dalam parti dan kerajaan.

“Ya, saya yakin. (Yes, I’m convinced),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Konsortium PCB-MGB dan Must Ehsan Development Sdn Bhd bagi pembangunan Rumah Idaman Rakyat Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu yakin bahawa video itu adalah agenda orang dalaman parti susulan seorang pemimpin PKR negeri yang dilaporkan hilang.

The Star melaporkan bahawa kumpulan WhatsApp PKR kecoh apabila individu berkenaan tidak dapat dikesan.

Laporan akhbar itu menyebut individu berkenaan gagal dihubungi sejak klip video pertama yang mirip Mohamed Azmin disebarkan pada 11 Jun lalu melalui satu grup WhatsApp diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’.

Pemimpin PKR yang tidak dinamakan sebagai berkata, pengerusi PKR negeri itu menepati gambaran kerana dikatakan mempunyai saudara-mara di Filipina.

Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai salah seorang  individu dalam video tersebut ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu berlepas ke Manila.

Walaupun nama individu itu tidak disebut, namun laporan itu dipercayai merujuk kepada Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. – MalaysiaGazette