A Aida

KUALA LUMPUR – Penerbit drama, Datuk A Aida mendedahkan dia mengetahui status bekas suaminya yang juga pelakon, Ariff Aziz sebagai duda tiga hari sebelum mereka bernikah.

Jelas wanita berusia 49 tahun itu, walaupun terkejut pada mulanya, dia dapat menerima berita itu tanpa emosi.

“Saya hanya mengetahui dia seorang duda kira-kira tiga hari sebelum akad nikah berlangsung.

“Tapi apalah kerana saya tak kisah duda atau apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengumumkan dia sudah bercerai talak satu pada 25 April lalu selepas 10 bulan berkahwin.

Tambah A Aida, dia reda dengan perpisahan itu, cuma ingin berpesan kepada mereka yang bakal berumah tangga.

“Kepada pasangan yang sedang bercinta agar mengambil masa mengenali pasangan masing-masing sebelum berkahwin.

“Namun saya enggan meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak,” katanya.

A. Aida dan Ariff Aziz, 30, atau nama sebenarnya Wan Izma Ariff Abd Aziz diijabkabulkan dengan dua kali lafaz pada 21 Julai 2018 dalam satu majlis di Hotel Dorsett Grand di Subang Jaya, Selangor.

Pasangan itu mula berkenalan ketika Ariff menjayakan beberapa projek drama di bawah produksi A Aida pada tahun 2015 namun bibit cinta mula bersemi sejak awal tahun lalu.

Melihat budi baik, sikap bertanggungjawab dan sempurna pegangan agama, Aida terbuka hati menerima lamaran Ariff. – MalaysiaGazette