Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tengah), diiringi Pengerusi UBM Malaysian Exhibition Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin (tiga kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (tiga kanan) Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy Bhd, Tan Sri Shahril Shamsudin (dua kanan) bergambar kenangan pada Majlis Pameran Minyak, Gas dan Kejuruteraan Petrokimia (OGA) 2019 di Plenary Theater KLCC, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 18 JUN 2019.

KUALA LUMPUR- Unjuran pemulihan harga minyak mentah global membawa khabar positif kepada sektor perlombongan di Malaysia.

Selain dapat membuka lebih banyak kerja-kerja penerokaan dan pembangunan industri berkenaan terutamanya bagi projek-projek di kawasan laut dalam yang memerlukan kos serta pelaburan tinggi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dari sudut kerajaan pula, bagi setiap peningkatan harga minyak mentah sebanyak AS$1 setong, ia akan menyumbang kira-kira RM300 juta ke dalam ‘kantung’ Perbendaharaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan ketika ini tidak lagi hanya bergantung kepada pendapatan daripada minyak dan gas semata-mata seperti dahulu.

Pada tahun 2009 katanya, sebanyak 41.3 peratus daripada pendapatan kerajaan datang daripada sumber petroleum namun angka itu menyusut kepada 19.5 peratus pada tahun 2019.

“Pada 2019, hanya kira-kira 19.5 peratus daripada keseluruhan perolehan kerajaan daripada sumber petroleum tidak termasuk pembayaran khas sebanyak RM30 bilion daripada Petronas yang akan digunakan untuk membiayai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan bayaran balik cukai pendapatan.

“Terima kasih Petronas dan Tan Sri Wan (Zulkiflee Wan Ariffin),” katanya sambil memandang kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang sedang duduk di kerusi VIP.

Guan Eng berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia ke-17 di sini hari ini.

Di bawah Belanjawan 2019, komitmen dividen keseluruhan yang perlu dibayar PETRONAS berjumlah RM54 bilion bagi membantu kerajaan membayar tunggakan bayaran balik GST dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng perubahan sektor minyak dan gas negara dengan meningkatkan rangkaian nilai dapat melindungi ketidaktentuan yang melampau dalam perniagaan huluan.

Tambahnya, pada suku keempat tahun ini, operasi komersial projek RAPID di antara Petronas dan Aramco Saudi akan beroperasi sepenuhnya dengan mengeluarkan 300,000 tong bahan api sehari.

Ini bakal menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bersih bahan api ditapis buat kali pertama sejak 2008.-MalaysiaGazette