Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Institusi perbankan seharusnya memberi akses kepada pembiayaan secara meluas kepada pembeli rumah pertama dan perusahaan kecil dan sederhana bagi memacu perkembangan ekonomi.

Lim Guan Eng berkata, kadar hutang isi rumah jatuh kepada 83 peratus pada tahun 2018 berbanding 83.8 peratus pada 2017.

Berikutan itu, pengguna mempunyai ruang yang lebih besar untuk meminjam bagi tujuan mengumpul kekayaan, sama ada untuk skim simpanan atau untuk pelaburan bukan bertujuan spekulasi, termasuk pemilikan aset jangka masa panjang.

Menteri Kewangan itu berkata, menurut statistik daripada Bank Negara Malaysia (BNM), kadar aset kewangan isi rumah ialah 2.1 kali hutang isi rumah.

Ini menunjukkan bahawa isi rumah secara purata memiliki lebih banyak aset daripada hutang, yang memberikan mereka penampan yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pembiayaan.

Tambahan lagi, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada 7 Mei 2019 telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus daripada 3.25 peratus telah mengurangkan kos pinjaman.

Pengurangan ini telah disalurkan sepenuhnya oleh bank-bank kepada para peminjam.

Kerajaan juga telah meminta BNM untuk mengingatkan semua bank agar tidak mengklasifikasikan pinjaman oleh perusahaan yang tidak menghadapi masalah membayar balik pinjaman, tetapi mahu menstruktur dan menjadualkan (R&R) semula pinjaman kepada tempoh yang panjang untuk menambah baik aliran tunai mereka, sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

Guan Eng mendakwa, perbelanjaan isi rumah Malaysia terus meningkat berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa jualan runcit meningkat 6.3 peratus kepada RM41.6 bilion pada April 2019 berbanding RM39.1 bilion setahun lalu.

Secara keseluruhan, jualan borong dan runcit pada April 2019 meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada RM105.1 bilion daripada RM99.8 bilion pada tahun lalu, dan memberikan petunjuk bahawa keyakinan pengguna pada tahap tinggi.

Katanya, ini bersama dengan perkembangan pengeluaran industri yang kukuh dan kadar pengangguran yang rendah, menggambarkan ekonomi yang terus berkembang.

Pengeluaran industri untuk April 2019 telah berkembang sebanyak 4.0 peratus tahun ke tahun melebihi konsensus pasaran yang menjangkakan kadar 2.5 peratus. – MalaysiaGazette