Wang Li. foto SCMP

BEIJING – Diplomat kerajaan China memberi amaran agar tidak memulakan ‘kemusnahan’ di Timur Tengah, susulan tekanan Amerika Syarikat ke Iran.

Kebimbangan terhadap konfrontasi antara Iran dan Amerika Syarikat meningkat sejak Khamis lalu selepas dua kapal tangki diserang di Teluk Oman.

Amerika Syarikat telah menyalahkan Iran meskipun Tehran menafikan pembabitannya dalam serangan tersebut.

Iran pula bertindak balas dengan mengumumkan untuk meningkatkan had pengayaan uranium, sekali gus melanggar perjanjian nuklear yang dibuat pada 2015.

Susulan kenyataan itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarkat, Patrick Shanahan mengumumkan untuk menambah 1,000 lagi tentera di Timur Tengah bagi tujuan pertahanan.

Bercakap selepas pertemuan dengan Menteri Luar Syria, Wang Yi berkata, Amerika Syarikat tidak sepatutnya menggunakan tekanan melampau dalam menangani isu dengan Iran.

Wang memberitahu, sudah tentu China sangat bimbang dengan situasi di Teluk dan Iran serta mahu semua pihak mengurangkan ketegangan dan tidak melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada pertempuran.

“Kita minta semua pihak bertindak rasional dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh merosakkan ketegangan serantau, dan tidak membuka ‘kotak Pandora’. Khususnya, pihak A.S. harus mengubah kaedah tekanan yang melampau,” kata Wang.

Tambahnya: “Sebarang tingkah laku unilateral tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa, bukan sahaja ia tidak menyelesaikan masalah, ia hanya akan mewujudkan krisis yang lebih besar lagi.”

Wang juga mengatakan bahawa perjanjian nuklear Iran adalah satu-satunya cara yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan isu nuklearnya, dan beliau mendesak Iran supaya berhemah.

“Kami memahami bahawa pihak yang berkaitan mungkin mempunyai kebimbangan yang berbeza tetapi perjanjian nuklear yang komprehensif harus dilaksanakan dengan baik.

“Kami berharap Iran berhati-hati dengan keputusannya dan tidak melanggar ini,” katanya.

Pada masa yang sama, China berharap pihak-pihak lain menghormati hak dan kepentingan sah Iran, kata Wang. – MalaysiaGazette