Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi.-pix ihsan Harakahdaily.

KUANTAN- Ada dalam kalangan ahli politik yang lantang menentang Islam di parlimen tetapi diberi peluang ‘menceroboh’ institusi Islam dengan mengagihkan zakat.

Itu kekesalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

“Agenda ini sangat terancang dan melibatkan pertubuhan antarabangsa sebagai pendesak. Ini dapat dilihat melalui percubaan meratifikasi ICERD dan Statut Rom yang akhirnya membuka ruang kepada campurtangan antarabangsa dalam urusan negara kita.

“Pada masa yang sama ancaman-ancaman kepada akidah umat Islam semakin banyak,” tegas dipetik daripada laporan Harakahdaily semasa Ucaptama Ketua Pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Ke60 di Gambang Resort City di sini hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, golongan tersebut sedaya upaya menanamkan persepsi negatif terhadap Islam serta cuba memecahbelahkan umat Islam agar mereka dapat mengambil kesempatan.

Beliau berkata, pasca PRU-14 memperlihatkan kekecewaan dihadapi rakyat Malaysia kerana bukan sahaja janji manifesto tidak ditunaikan malah lebih mendukacitakan terdapat usaha mengganggu gugat kesucian Islam secara terang-terangan.

Saban hari penghinaan demi penghinaan dapat kita saksikan melalui media sosial terhadap Islam, hukum-hukum Islam, Nabi Muhammad dan institusi Islam, katanya.- MalaysiaGazette