Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan memastikan Gagasan Kemakmuran Bersama akan menjadi falsafah dan tulang belakang kepada Rancangan Malaysia Ke-12.

Gagasan Kemakmuran Bersama bukan gagasan sekadar untuk meningkat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tetapi mengutamakan kepentingan rakyat.

Sebaliknya, Gagasan Kemakmuran Bersama juga akan menekankan penggunaan bakat sumber manusia dan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara kepada potensi yang terbaik.

Kemakmuran Bersama adalah konsep ekonomi baharu yang lebih inklusif dan mengambil kira kepentingan semua, akan diterima rakyat keseluruhannya.

Ia juga memastikan kekayaan negara dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh, meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengurangkan jurang ekonomi rakyat tanpa mengira kelas, kaum mahupun wilayah

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, untuk itu perubahan-perubahan utama perlu dilaksanakan untuk memastikan matlamat ini dicapai. Antara lain ialah:

a) Membantu transformasi ekosistem perniagaan dan industri termasuk PKS supaya mampu mengadaptasi kepada Revolusi Industri 4.0, Ekonomi Digital dan Ekonomi Intelek untuk menjadi industri nilai tinggi dan mampu menjana lebih pendapatan kepada rakyat

b) Mengadakan transformasi kepada sumber manusia negara bagi menghasilkan tenaga kerja yang efektif dan bernilai tinggi serta memastikan pusat-pusat pembangunan kemahiran dan TVET negara memenuhi kehendak industri.

c) Mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan memastikan industri beralih kepada pekerjaan dan perkhidmatan nilai tinggi yang menjanjikan pendapatan yang lebih tinggi kepada pekerja.

d) Mengenal pasti 15 bidang-bidang keberhasilan utama baharu yang boleh menganjak ekonomi ke tahap yang lebih tinggi

e) Mengadakan rasionalisasi kepada dasar dan strategi kebajikan rakyat (needs-based approach) dengan menekankan program graduasi golongan rentan ekonomi dan B40 untuk keluar dari kemiskinan relatif; serta

f) Mewujudkan 50 pusat-pusat ekonomi tempatan di luar Lembah Klang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diagihkan dengan lebih meluas.

Menurut Azmin, Kemakmuran Bersama harus memastikan jurang ekonomi, pendapatan dan penyertaan dalam rantaian bekalan dapat diminimumkan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah Sarawak dan golongan relatif miskin supaya kekayaan negara dapat benar-benar dirasai bersama.

“Atas semua strategi dan gagasan ini kita mengharapkan Gagasan Kemakmuran Bersama akan mampu mengurangkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat dan mempertumbuhkan ekonomi dengan lebih rancak.

“Tujuan Gagasan ini adalah untuk kepentingan rakyat yang lebih menyeluruh. Oleh itu, kita mengharapkan gagasan ini bukan hanya datang dari kerajaan kepada rakyat, namun seharusnya mendapat pandangan dan maklum balas dari rakyat, industri dan masyarakat sivil supaya ia mampu menjawab dan menyelesaikan kehendak dan keperluan rakyat,” katanya.

Tambahnya, kementerian itu akan mengambil tanggungjawab untuk mengadakan konsultasi dan mendapatkan maklum balas dari semua pemegang taruh, termasuk kumpulan pekerja, peniaga dan pemain industri untuk memastikan gagasan ini akan menjadi milik rakyat secara bersama. – MalaysiaGazette