KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat pertama kalinya selepas 17 tahun penubuhannya, berjaya menempatkan diri dalam kelompok 701-750 universiti terbaik dunia berdasarkan senarai terbaharu 2020 seperti yang diumumkan Quacquarelli Symonds (QS) hari ini.

Berdasarkan laporan itu, UniMAP merupakan satu daripada dua university dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang disenaraikan sebagai 1,000 universiti terbaik dunia selain Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berada pada kedudukan 751-800 terbaik.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, ini merupakan pencapaian terbaik UniMAP, selaras dengan sasaran yang terkandung dalam Pelan Strategik UniMAP 2015-2020 iaitu untuk berada dalam kelompok universiti terbaik dunia pada tahun 2020.

“Kita menyedari persaingan yang cukup sengit untuk menempatkan diri dalam kelompok universiti terbaik dunia dan kejayaan menjadi antara 20 universiti di Malaysia yang tersenarai pada tahun ini adalah sesuatu yang sewajarnya dibanggakan.

“Pencapaian ini adalah cerminan tahap komitmen dan dedikasi warga kerja universiti dalam meletakkan fokus terhadap hasil produktiviti warga kerjanya secara menyeluruh semenjak ditubuhkan pada tahun 2002 yang lalu.

“Ini termasuklah pengajaran yang cemerlang, penyelidikan yang berimpak serta usahasama industri, terutama dalam menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan industri dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

UniMAP sebelum ini telah berjaya mendapat pengiktirafan lima bintang dalam Penarafan Bintang (QS Stars Rating), selain turut berjaya tersenarai pada kedudukan ke-201 terbaik di Asia berdasarkan QS Asia Rankings.

Mengulas lanjut, Prof. R. Badlishah berkata, berdasarkan pelaporan QS juga, UniMAP berbangga apabila diberi klasifikasi amat tinggi dalam elemen intensiti penyelidikan dengan pengiktirafan sebagai universiti pakar manakala indikator rujukan pelajar fakulti merupakan kekuatan utama bagi UniMAP apabila menduduki kedudukan ke-271 dunia bagi indikator tersebut.

Meskipun dikategorikan sebagai universiti muda, pencapaian UniMAP sehingga ke tahap yang begitu membanggakan ini adalah hasil daripada tumpuan universiti terhadap kriteria kecemerlangan dunia akademik dan pada masa sama terus meningkatkan keterlihatan universiti di persada antarabangsa, tambahnya. – MalaysiaGazette