Hashim Jasin. foto ADIB AIMAN ROSLI , 08 APRIL 2017
Hashim Jasin.

KUALA LUMPUR – Pas mula menerima UMNO dan kerjasama yang dimeterai sejak setahun lalu semakin menguatkan persahabatan dan gabungan kedua-dua parti itu.

Ini diakui Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang turut mengesahkan bahawa ahli dan penyokong parti itu di kampung sudah boleh duduk bersama dengan UMNO.

Katanya, kalau sebelum ini mereka pantang menyebut nama atau perkataan UMNO, kali ini tidak lagi, malah sudah menjalin ikatan persaudaraan setelah Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

“Sebelum ini ahli dan penyokong Pas di kampung tidak boleh terima apabila disebut perkataan UMNO dan menganggap musuh utama Pas.

“Sekarang situasi itu sudah berubah dan kita dapat lima pada muktamar di Terengganu tahun lepas, kita sudah boleh duduk bersama,” katanya kepada media pada Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat ke-58 di Kuantan, hari ini.

Menurut Hashim, Pas tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan UMNO kerana sebelum ini pernah bertahaluf siyasi dengan PKR dan DAP serta bersama Nasional Front dan Kongres Kebangsaan Melayu pada tahun 1953.

Malah katanya, Pas juga pernah bekerjasama dengan Parti Negara pimpinan bekas presidennya, Datuk Onn Jaafar ketika menghadapi pilihan raya umum tahun 1959.

“Kita pernah meneruskan kerjasama bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada 1988 hingga 1996 dan terkini bersama BN.

“Ramai tidak percaya apa yang berlaku pada PRU14 yang lalu, sehingga ada pimpinan yang sebut hanya apabila kalah baru pimpinan UMNO akan insaf,” katanya. – MalaysiaGazette