Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitiri Kementerian Dalam Negeri di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2019.

SERDANG – Isu penularan video seks luar tabie yang didakwa membabitkan bekas Ketua Pemuda Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang individu mirip menteri tidak dibincangkan dalam kabinet hari ini.

Perkara berkenaan disahkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tidak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu bercuti kerana penyebaran video seks mengaitkan beliau bermotif politik.

Mahathir berkata, siasatan polis berhubung kes video berkenaan boleh diteruskan dan tiada halangan walaupun Mohamed Azmin menjalankan tugasnya sebagai menteri seperti biasa.

Sebelum ini, Haziq mengaku sebagai individu bersama seorang mirip menteri Kabinet dalam video seks luar tabie yang tersebar di laman sosial Whatsapp sejak 11 Jun lalu.

Jumaat lalu badan bukan kerajaan, Otai Reformasi menggesa Putrajaya merehatkan Mohamed Azmin daripada tugasnya sebagai menteri susulan kontroversi kes video lucah yang dikaitkan dirinya bersama seorang lelaki.

Desakan itu turut mendapat reaksi daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut tidak bersetuju dengan desakan itu sambil menyifatkan ia hanya akan mengeruhkan keadaan di dalam parti dan kerajaan. – MalaysiaGazette