SAN FRANCISCO – Apple Inc telah meminta pembekal utamanya menilai implikasi kos untuk memindahkan 15 hingga 30 peratus operasi pengeluaran mereka dari China ke Asia Tenggara kerana ia menyediakan penyusunan semula rantaian bekalannya, menurut laporan Nikkei Asin Review.

Permintaan Apple itu susulan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat-China tetapi resolusi perdagangan tidak akan menyebabkan perubahan keputusan perusahaan, kata Nikkei yang memetik beberapa sumber.

Pembuat iPhone itu telah memutuskan risiko kebergantungan kepada pembuatan di China sudah terlalu besar, malah meningkat, katanya.

Awal bulan ini, agensi penarafan kredit Fitch berkata, ia melihat Apple, Dell Technologies Inc dan HP Inc sebagai calon berpotensi untuk disenaraihitamkan sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Huawei.

Pemasang iPhone utama Foxconn, Pegatron Corp, Wistron Corp, pembuat urama MacBook, Quanta Computer Inc, pembuat iPad Compal Electronics Inc, dan pembuat AirPods Inventec Corp, Luxshare-ICT dan Goertek telah diminta untuk menilai opsyen di luar China, lapor Nikkei.

Negara-negara yang dipertimbangkan termasuk Mexico, India, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.

Tetapi India dan Vietnam adalah antara pilihan untuk telefon pintar, kata Nikkei, memetik sumber-sumber yang tidak mahu dikenal pasti.

Minggu lalu, Foxconn berkata, ia mempunyai kapasiti yang mencukupi di luar China untuk memenuhi permintaan Apple di pasaran Amerika jika syarikat itu perlu menyelaraskan pengeluarannya selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif lebih daripada AS$300 bilion ke atas barangan China.

Penganalisis di Wedbush Securities berkata, dalam senario terbaik bagi Apple, ia boleh memindahkan 5 hingga 7 peratus daripada pengeluaran iPhonenya ke India dalam 12 hingga 18 bulan akan datang.

Mengambil kira kesukaran dan logistik yang terlibat, seorang broker berkata, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun untuk menggerakkan 15 peratus pengeluaran iPhone dari China ke kawasan lain.

China adalah pasaran utama untuk Apple serta pusat pengeluaran utama untuk perantinya.

Syarikat itu mendapat hampir 18 peratus daripada jumlah pendapatannya dari China pada suku yang berakhir Mac. – MalaysiaGazette