Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 Jabatan Perdana Menteri di Puspanita Puri, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 jun 2019

PUTRAJAYA – Cadangan mengenai kedudukan semua anggota Kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.

Bagaimanapun keputusan akhir mengenai perkara itu hanya boleh dibuat oleh dirinya katanya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Mereka boleh membuat cadangan, sama ada saya terima (atau sebaliknya) adalah perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Perdana Menteri berkata demikian menjawab soalan wartawan berhubung cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri  Jeram, Mohd Shaid Rosli yang sebelum ini menggesa Wan Azizah menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor itu juga berkata, peralihan kuasa Perdana Menteri pada masa ini tidak masuk akal memandangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri masih dipegang oleh Wan Azizah.

Bagaimanapun, Wan Azizah dalam reaksinya sebelum itu berkata, tidak timbul isu untuk beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada Anwar.

Menteri Pembangunan Wabita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana dalam perjanjian sebelum ini yang dipersetujui – beliau akan menjadi timbalan kepada Mahathir.

Katanya, perjanjian itu juga dipersetujui beliau kekal Timbalan Perdana Menteri walaupun Anwar sudah dilantik menjadi Presiden PKR. – MalaysiaGazette