Foto Ihsan Seniman

KUALA LUMPUR – Seramai lapan artis tempatan dilantik sebagai ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam memantapkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Mereka terdiri daripada Black Hanifa, Tomok, Ismail Izzani, Aiman Tino, Keena Mentor, Izzmad Harun, kumpulan Floor 88 serta pelawak Achey.

Pelantikan itu dibuat pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara AADK yang diwakili Pengarah Bahagian Pencegahan Abdul Rahman Hamid dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang diwakili Setiausaha Agungnya Hafiz Nafiah hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Timbalan Presiden Seniman Zuraini Md Kassim.

WhatsApp Image 2019-06-21 at 16.58.05
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah (tengah baju Melayu tengah).

Hafiz berkata, Seniman merakamkan terima kasih atas kerjasama rasmi ini dan berharap agar dapat direalisasikan dengan baik mengikut perancangan yang telah dilakukan bagi mencapai matlamat perjanjian MoU itu

“Seniman juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua ikon yang telah bersetuju untuk menjadi contoh terbaik di kalangan masyarakat di Malaysia.

“Dengan perlantikan ini mereka dapat memainkan peranan penting dalam menyeru masyarakat untuk menghindari diri daripada terjebak dengan masalah dadah, mereka juga mempunyai ramai pengikut di media sosial yang mampu menyebarkan maklumat penting kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pemilihan artis sebagai ikon AADK dibuat kerana mesej jauhi dadah dapat disampaikan dengan lebih luas menerusi kaedah ini, terutama kepada golongan muda.

“Artis mempunyai pengikut yang ramai di media sosial khususnya generasi muda… golongan ini yang perlu dibimbing supaya tidak mudah terjebak dengan gejala dadah. “Artis-artis ini juga akan didedahkan dengan latihan tertentu bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan lebih tepat,” katanya kepada media di sini.

Selain itu, Zulkifli berkata, pihaknya bersama Seniman akan merangka beberapa program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya dadah.

“Kita akan buat video pendek atau program tertentu dan medium seperti Facebook, Instagram atau Twitter perlu digunakan oleh artis untuk menarik masyarakat mengamalkan budaya hidup bebas tanpa dadah,” katanya. – MalaysiaGazette