Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Penyeragaman fatwa serta undang-undang syariah perlu dilakukan agar perundangan syariah dapat diperkasakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu fatwa itu selaras dengan usaha kerajaan menyeragamkannya menerusi kajian dan penambahbaikan.

“Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan hari ini untuk memperkasakan mahkamah syariah melalui kajian bagi penambahbaikan undang-undang sedia ada, mengelak pertembungan antara undang-undang sivil dan syariah, meningkatkan prasarana mahkamah dan kemahiran hakimhakim syariah dalam mengendalikan kes,” katanya menerusi kenyataan media.

Semalam, baginda bertitah pejabat mufti wilayah dan negeri perlu diangkat menjadi model hukum dan fatwa yang seragam dengan mewujudkan Sekretariat Perundingan Hukum Syarak bagi kelima-lima negeri di bawah naungan Baginda bagi mengelakkan institusi agama berterusan menerima tekanan pihak luar.

Titah Baginda, hanya dengan kesatuan dan kerjasama yang kukuh dapat menepis segala permintaan pihak tertentu yang bertentangan dengan syariat Islam dan perlembagaan persekutuan. – MalaysiaGazette