Fernando Torres. Foto Daily Express

LONDON – Bekas penyerang prolifik antarabangsa Sepanyol, Fernando Torres akhirnya mengumumkan persaraan sebagai pemain pada usia 35 tahun.

Torres menggantung butnya dengan rekod 298 gol bersama kelab dan pasukan antarabangsa dan bakal diingati sebagai salah seorang penyerang berbisa dunia.

Dia pasti diingati antara watak utama ketika Sepanyol menjulang trofi juara Piala Dunia 2010.

Bakat Torres dikesan oleh Atletico Madrid sebelum mencipta nama bersama Liverpool dengan merakam 81 gol sepanjang empat musim.

Lebih menakjubkan, Torres yang pernah digelar ‘torpedo’ berjaya merakam 24 gol dalam aksi Liga Perdana ketika musim pertamanya.

Selepas itu dia berhijrah ke Stamford Bridge bersama Chelsea dan membantu menjulang trofi Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala FA.

Torres kembali ke Atletico  tahun lalu sebelum berhijrah ke kelab Jepun Sagan Tosu.

Menerusi status di Twitter miliknya, dia menyifatkan kariernya dalam bola sepak selama 18 tahun cukup luar biasa.

“Saya ingin menyampaikan perkara penting. Selepas 18 tahun yang menakjubkan, akhirnya tiba masa untuk mengakhiri karier sebagai pemain bola sepak,” tulis Torres. – MalaysiaGazette