Donald Trump

WASHINGTON – Presiden Donald Trump meluluskan serangan ketenteraan ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap dron pengintip milik Amerika Syarikat (AS) yang ditembak jatuh negara itu, namun kelulusan tersebut ditarik balik pada malam Khamis selepas ketegangan meningkat selama sehari.

Selewat jam 7 malam waktu tempatan, para pegawai tentera dan diplomatik menjangkakan serangan dilancar, selepas perbincangan dan perdebatan mendalam di White House antara pegawai keselamatan negara kanan presiden dan pemimpin Kongres, menurut para pegawai pentadbiran kanan yang terlibat dalam mesyuarat atau diberi taklimat mengenai mesyuarat itu.

Para pegawai berkata, pada asalnya presiden meluluskan serangan ke atas beberapa sasaran di Iran, seperti radar dan pengkalan peluru berpandu, lapor The New York Times.

Operasi yang sedang bermula pada peringkat awal dibatalkan, kata seorang pegawai pentadbiran kanan. Pesawat yang berada di udara dan kapal yang sedang bersiap sedia, namun tanpa peluru berpandu dilancarkan, apabila ia dibatalkan, kata pegawai itu.

Pembatalan secara tiba-tiba itu mungkin menjadi tindakan ketenteraan ketiga presiden terhadap sasaran di Timur Tengah. Trump melancarkan serangan ke atas Syria pada 2017 dan 2018.

Adaklah tidak jelas sama ada Trump mengubah sahaja fikiran beliau atau pentadbirannya telah mengubah langkah itu atas sebab logistik atau strategi. Adalah tidak jelas sama ada serangan mungkin masih dilakukan.

White House dan Pentagon enggan mengulas ketika ditanya mengenai rancangan serangan dan keputusan membatalkannya.

Tiada pegawai kerajaan yang meminta The New York Times menarik balik artikelnya.

Rancangan membalas dendam itu adalah sebagai tindakan balas terhadap Iran yang menembak jatuh dron pengintip bernilai AS$130 juta dengan menggunakan peluru berpandu darat-ke-udara, menurut seorang pegawai pentadbiran kanan yang tidak mahu dikenali yang diberi taklimat terhadap rancangan ketenteraan.

Serangan tersebut dirancang sebelum subuh di Iran bagi mengurangkan risiko berdepan tentera Iran dan orang awam. – Agensi