KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus menumpukan usaha mengurangkan hutang negara sebelum beliau mengakhiri tempoh memegang jawatan itu buat kali kedua.

Ketika ditanya mengenai satu perkara yang beliau mahu selesaikan sebelum melepaskan jawatan tersebut, beliau berkata: “hutang.”

Dr Mahathir berkata hutang tersebut adalah terlalu besar bagi negara ini dan ia perlu dikurangkan.

“Namun apabila anda membandingkannya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)…KDNK meningkat dan peratusan hutang berkurangan, itu satu penyelesaian manakala cara lain pula adalah menjual aset,” katanya semasa sesi ‘Masa Depan Malaysia dan ASEAN’ yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN di Bangkok, Thailand hari ini.

Wartawan antarabangsa Bloomberg bagi Asia Tenggara, Haslinda Amin, menjadi moderator sesi berkenaan.

Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan telah menganggap keadaan kewangan kerajaan sebagai perkara tidak begitu penting sebelum ini malah tidak mendapat maklumat tepat mengenai kedudukan kewangan kerajaan terdahulu.

Namun apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan tahun lepas, ia mendedahkan bahawa hutang negara berjumlah RM1 trilion.

“Kami berada di luar (kerajaan sebelum ini) dan tidak mendapat maklumat mengenai apa yang berlaku dalam kewangan negara, tetapi setelah mengambil alih pentabiran kerajaan, barulah kami menyedari kadar hutang negara adalah lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berdepan tempoh yang amat sukar untuk menyelesaikan kedudukan kewangan kerajaan serta jentera pentadbiran.

“Namun kami dapat menguruskan hutang itu sehingga ia tidak lagi menjadi penghalang kepada pentadbiran dan pembangunan negara,” katanya.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan dapat mengawal dan mengurangkan keseluruhan hutang dan liabiliti kepada 75.4 peratus daripada KDNK tahun lepas berbanding 79.3 peratus pada 2017 walaupun hutang langsung kerajaan meningkat 1.1 mata peratusan kepada 51.2 peratus daripada KDNK.

Keseluruhan hutang dan liabliti kerajaan turun 3.9 mata peratusan setelah didorong hasil rasionalisasi kos ke atas projek mega yang terlalu mahal serta pembayaran Kerjasama Awam-Swasta, katanya.

Dr Mahathir berkata hampir satu tahun telah berlalu untuk menyelesaikan kesemua perkara yang telah dijanjikan, namun setakat ini kerajaan telah mengurangkan hutang dengan baik.

Beliau berkata negara mula mencatatkan pelaburan masuk serta pelaburan langsung asing telah meningkat kepada RM29.3 bilion dalam semua sektor.“Pelaburan yang akan masuk (ke dalam negara) itu adalah baik,” katanya.– BERNAMA