Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berucap pada sidang media khas oleh SPRM berhubung tindakan undang-undang terkini SPRM berkenaan kes 1MDB di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Sebuah agensi pelancongan, Rayhar Travels Sdn. Bhd. (Rahyar Travels) menjelaskan bayaran yang diterimanya pada 2013 adalah untuk membiayai penduduk terpilih di kawasan Pekan, Pahang bagi mengerjakan umrah.

Agensi itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak berkuasa pada tahun 2018 bahawa bayaran cek tersebut adalah dipercayai dari akaun Ambank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul mengenai penglibatan kami dalam kes ini, kami ingin menjelaskan bahawa bayaran tersebut diterima dari seorang individu yang menaja rakyat jelata kawasan Pekan bagi mengerjakan umrah pada tahun 2013.

“Pada tahun 2018 kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa bayaran cek tersebut adalah dipercayai dari akaun Ambank bekas perdana menteri seperti dinyatakan dalam akhbar tempatan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan bagi mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 penerima.

Rayhar Travels merupakan salah satu entiti yang dinamakan SPRM sebagai penerima wang 1MDB.

Sementara itu, Rayhar Travels berkata, pelanggan pakej umrah, haji dan pelancongan yang menggunakan khidmatnya tidak perlu khuatir kerana syarikat itu telah memberi keterangan dan kerjasama kepada pihak berkuasa sejak 2018 lagi.

“Operasi syarikat berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan,” jelasnya.

Semalam SPRM memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB yang diagihkan kepada 41 penerima.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, wang tersebut diagihkan daripada akaun peribadi Najib Razak di AmBank.

Beliau berkata, 41 responden berkenaan perlu memfailkan afidavit untuk mencabar saman tersebut dan menjelaskan bagaimana mereka memperolehi dana itu. – MalaysiaGazette