Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan siri perbincangan dengan semua pihak termasuk majikan bagi mendapatkan kata sepakat susulan cadangan memperkenalkan cuti paterniti bagi sektor swasta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengakui wujud bantahan daripada majikan, namun perbincangan adalah jalan terbaik sebelum satu keputusan dibuat.

Kelmarin, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dilapor berkata, draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.

MGF22062019_MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MALAYSIA 201916

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bergambar kenangan bersama peserta-peserta laman sosial “instafamous” dan penari-penari kebudayaan pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2019Draf itu kemudian akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan.

“Memanglah ada kekangan dalam kalangan majikan. Dari segi cuti bersalin ini, memang baik kalau dapat sebab kita akan datang sudah menjadi negara tua.

“Kita galakkan ramai dapatkan (melahirkan) anak. Jadi cuti bersalin ini boleh dipertimbangkan tapi kita belum bincang terperinci (dengan semua pihak berkaitan),” tambahnya.

Wan Azizah mengulas kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pemberian cuti wajib selama tiga hari itu kerana isteri bersalin, memberi kesan kepada kos operasi syarikat.

Wan Azizah menambah, kerajaan akan membuat rayuan kepada pihak swasta memandangkan cadangan sedemikian baik terutama kepada institusi kekeluargaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah beberapa kementerian dan jabatan kerajaan mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri pada waktu pejabat adalah kerana mahu menjimatkan masa dan wang.

Jelasnya, program jamuan raya itu diadakan bertujuan untuk meraikan para pegawai dan kakitangan kementerian atau jabatan.

“Kita hendak juga merayakan sebab kakitangan kita, lagipun ia menjimatkan masa dan wang jadi kita buat begitu.”Setiap organisasi akan mendapatkan seorang yang menjaga dan bertugas di kaunter secara bergilir-gilir,” katanya.Wan Azizah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Muzium Diraja, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang meminta kerajaan melihat semula keperluan jabatan kerajaan mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri yang biasanya melibatkan penyertaan sebahagian besar kakitangannya untuk menampakkan kemeriahan. – MalaysiaGazette