Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng disifatkan sebagai menteri yang tidak bertanggungjawab apabila mendakwa Sarawak akan bankrap dalam tiga tahun lagi jika negeri itu terus diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Ketua Pemuda, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kenyataan oleh menteri kewangan itu jelas membuktikan tanggapan rakyat bahawa menteri Pakatan Harapan menghampiri tahap bodoh adalah betul.

Mereka masih bersikap seperti pembangkang dan lupa mereka sudah memerintah Kerajaan Persekutuan.

“Kenyataan ini tidak bertanggungjawab kerana sebagai menteri, kenyataan beliau adalah pendirian kerajaan. Setiap kenyataan masih bersifat politik dan bercakap tanpa fakta yang jelas bagi mengelirukan rakyat serta berniat jahat, kata, Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong.

Semalam, dalam satu majlis DAP Sarawak, Guan Eng berkata, rizab Sarawak berjumlah RM31 bilion boleh digunakan untuk tiga tahun jika bajet tahunan GPS berjumlah RM11 bilion.

WhatsApp Image 2019-06-22 at 15.41.22
Fazzrudin Abdul Rahman

Sehubungan itu, katanya, rakyat Sarawak patut mengundi kerajaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.

Tambah Guan Eng lagi, Sarawak jangan jadi seperti Kelantan yang diperintah dengan teruk sehingga tidak dapat membayar gaji kakitangan awam.

Fazzrudin berkata, kenyataan Guan Eng itu akan mengakibatkan kesan negatif terhadap pelabur-pelabur, ekonomi negara dan ekonomi Sarawak.

“Adakah beliau lupa antara punca pendapatan negara yang digunakan untuk membangunkan semenanjung adalah dari hasil minyak Sarawak.

“Jika Sarawak bankrap, apa akan terjadi kepada Malaysia? Sarawak antara negeri yang mempunyai reserve (rizab) yang tinggi hasil dari kebijaksanaan pimpinan Sarawak dan Sarawaklah yang banyak menyumbang kepada pembangunan yang dinikmati di Semenanjung.

“Kenyataan ini adalah bodoh kerana – apakah beliau tidak mengambil kira punca pendapatan Sarawak yang lain.

“Adakah beliau tidak memeriksa fakta dahulu sebelum bersuara. Adakah beliau lupa kerana disebabkan oleh mulut celupar beliau, pelbagai masalah pelaburan dan bursa saham kita menjunam.

“Janganlah ada mata buta melihat, ada telinga bengal untuk mendengar dan ada mulut tapi celupar dan sengaja tidak faham inisiatif yang telah dilaksanakan oleh YAB DP Abg Jo, KM Sarawak dalam menjana pendapatan,” tegasnya.

Fazzrudin juga mempersoalkan adakah pemikiran Guan Eng tidak sampai ke tahap itu untuk berfikir.

Beliau meminta menteri kewangan itu berhenti berpolitik dengan akal pendek dan fokus kepada membangunkan negeri dan negara serta melaksanakan janji pilihan raya yang lepas.

Jelas beliau, sebagai menteri kewangan, Guan Eng bertanggungjawab bukan sahaja kepada negeri pimpinan DAP, tetapi seluruh Malaysia.

“Baliklah ke Semenanjung dan fokus kepada mentadbir urus negara. Jika tidak mampu melaksanakan tanggungjawab itu, maka lepaskanlah jawatan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette