Baru Bian
Baru Bian

KUALA LUMPUR – Sebarang cadangan pengambilalihan mana- mana lebuhraya akan hanya diputuskan oleh Jemaah Menteri.

Menteri Kerja Raya Baru Bian memaklumkan, sebarang keputusan Kabinet  itu boleh dibuat selepas kajian dan syor daripada Kementerian Kerja Raya berhubung hala tuju tol di negara ini secara menyeluruh.

“Laporan kajian itu hanya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Julai 2019,” katanya.

Menurut Baru Bian, kementerian telah melantik perunding audit bebas bartauliah pada Januari 2019 bagi meneliti dan mengkaji secara holistik hala tuju industri tol di negara ini.

“Antara prinsip atau kriteria utama kajian berkenaan ialah mencadangkan opsyen-opsyen yang munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak yang berkepentingan iaitu kerajaan, syarikat konsesi, dan juga rakyat sebagai pengguna

“Meminimumkan beban kewangan kerajaan dan memastikan piawaian operasi dan selenggara lebuh raya sedia ada tidak terjejas, juga antara perkara yang harus diutamakan,” tegasnya lagi.

Baru Bian berkata demikian selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan mengenai tawaran Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) kepada empat pemegang konsesi tol yang membabitkan kos sebanyak RM6.2 bilion.

Keempat-empat lebuh raya itu dikuasai oleh Gamuda Berhad.

Cadangan pengambilalihan itu melibatkan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) pada kos RM1.984 bilion.

Manakala KESAS Sdn Bhd pada RM1.377 bilion dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) RM369 juta.

Guan Eng berkata, jika semua proses berjalan lancar, proses pengambilalihan itu akan dibuat pada 31 Disember ini.

Gamuda Bhd yang juga pemegang saham terbesar dalam keempat-empat pengendali lebuh raya terbabit dalam notis kepada Bursa Malaysia semalam memberitahu, surat tawaran itu bagi mengambil alih semua kepentingan termasuk saham biasa, saham keutamaan dan saham pinjaman.

Menurutnya, tawaran itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc yang akan dikenal pasti kemudian. – MalaysiaGazette

 

Jika semua lancar, pengambilalihan empat tol pada 31 Disember ini