KUALA LUMPUR – Majlis Ulama Aceh (MPU) mengeluarkan fatwa mengharamkan permainan tembak-menembak dalam talian, PlayerUnknown’s Battleground atau dikenali sebagai PUBG kerana mendakwa ia menggalakkan perlakuan negatif.

Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Ketua MPU Aceh, Faisal Ali di laman berita kompas.com.

“MPU Aceh mengharamkan PUBG dan permainan serupa daripada dimainkan di Aceh,” katanya.

Faisal menjelaskan, keputusan itu dibuat pihaknya setelah mengadakan perbincangan dengan pakar teknologi maklumat (IT) dan perundangan Islam serta psikologi ketika Mesyuarat Plenari MPU Aceh 2019.

Hasil kajian memutuskan, PUBG membawa pengaruh buruk kepada pemainnya kerana mudah menjadi panas baran dan ketagih terhadap permainan terbabit.

“Kanak-kanak menjadi berang jika ibu bapa melarang mereka bermain permainan itu (PUBG),” katanya yang mengakui perkara sama turut berlaku dalam kalangan pasangan sudah berkahwin. – MalaysiaGazette