KUALA LUMPUR – Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo menyasarkan untuk naik podium lagi dalam Grand Prix Motosikal Belanda di Litar Assen, Belanda, hujung minggu depan.

Pendatang baharu dari Perancis itu yang memulai musim ini dengan positif dengan satu penyudah podium di GP Catalan, minggu lepas dan mendapat dua petak pertama selepas tujuh perlumbaan, meletakkan harapan tinggi untuk mencapai lagi kejayaan dalam kerjaya MotoGP beliau.

“Sejujurnya, harapan saya ialah berada di atas podium. Ia adalah litar yang saya suka dan walaupun pasukan memberitahu menamatkan perlumbaan di tempat lapan teratas sudah merupakan keputusan yang baik, saya membayangkan podium di dalam kepada saya.

“Sekarang kami perlu bertenang dan terus belajar – sebagaimana yang kami lakukan musim ini,” Quartararo berkata seperti dipetik dalam wawancara ringkas di dalam video saluran YouTube pasukan itu hari ini.

Mengimbau kembali kejayaannya pada permulaan musim ini, anak jati Nice berusia 20 tahun itu sendiri terkejut dengan prestasinya sekarang, sambil menyifatkan kejayaannya adalah hasil penyediaan enjin yang hebat dan juga rancangan kerja yang baik pasukannya.

“Keputusan yang dicapai kami tidak diragukan memang menakjubkan. Di Jerez, kami memperoleh petak pertama kami dan kemudian di (litar) Mugello, kami juga layak bermula dari barisan hadapan.

“Sudah tentu, GP Catalan di Sepanyol adalah satu hujung minggu sempurna. Kami mendapat satu lagi kedudukan petak pertama dan memperoleh penyudah podium sulung kami. Saya tidak menjangkakan keputusan sebaik itu dalam bahagian pertama musim ini,” kata Quartararo.

Mengulas lanjut, beliau memuji kesemua staf pasukan yang mempamerkan dedikasi dan kerja keras sejak pramusim bagi memastikan beliau mencapai prestasi yang tinggi.

“Seperti saya katakan, rancangan kerja adalah kena untuk kami, dan pasukan membantu saya mengatasi banyak masa-masa yang sukar semasa beberapa perlumbaan awal.

“Untungnya, ia tidak banyak berlaku sehingga sekarang, tetapi mereka juga memberikan keyakinan kepada saya apabila perlumbaan tidak berjalan lancar,” kata Quartararo yang menyertai Petronas Sepang SRT, musim ini daripada pasukan Itali, Beta Tools – Speed Up Racing. – MalaysiaGazette