Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Sasaran kerajaan untuk mendapatkan seramai 30 juta pelancong asing dalam usaha mengutip pendapatan sebanyak RM100 bilion mampu dicapai sekiranya seluruh rakyat berperanan sebagai duta pelancongan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, masyarakat perlu bersama kerajaan mempromosikan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan menonjolkan keperibadian mulia.

Menurutnya, bagi tujuan itu rakyat perlu menunjukkan keperibadian mulia yang boleh menjadi ikutan oleh pihak luar.

“Apabila orang asing jatuh cinta dengan sifat keperibadian timur yang kita miliki, dengan sendirinya mereka akan mencari pula seni dan warisan negara kita untuk dihayati dan dinikmati.

“Kita harus menjadi negara contoh kepada dunia luar dengan rakyatnya memiliki tata susila, tata laku dan tahap intelektual yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pad Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Muzium Diraja, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ketua Setiausaha kementerian, Datin Noor Laili Hamzah. – MalaysiaGazette