Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar

JOHOR BAHRU – Sebanyak 14 lagi sekolah di kawasan Pasir Gudang akan ditutup selama empat hari bermula esok.

Kesemua sekolah berkenaan dalam jajaran arah angin enam kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar, sekolah pertama terjejas dalam insiden sesak nafas melibatkan muridnya pada Khamis.

Penutupan itu menjadikan jumlah sekolah yang akan ditutup sebanyak 17 termasuk tiga yang telah diarahkan tutup semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, penutupan selama empat hari sehingga Khamis (27 Jun) itu akan membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok dan SK Kota Masai 3.

Turut tertutup SK Taman Cendana, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Pasir Gudang, SK Taman Scientex dan SMK Taman Scientex.

“Turut terlibat sama adalah institusi pengajian awam, sekolah-sekolah agama kerajaan Johor, semua pra sekolah dan tadika,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, keputusan menutup sekolah yang melibatkan 20,108 murid itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga selepas terdapat kejadian sesak nafas dan muntah-muntah dilaporkan lagi di kawasan itu, pada pukul 11 pagi tadi.

Katanya, dalam kejadian terbaharu itu, pihak bomba yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan telah membuat saringan ke atas pelajar-pelajar yang dikesan awal mengalami gejala sesak nafas dan mual.

“Sehingga pukul 3.30 petang, seramai 13 mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail dan berada dalam keadaan stabil dan 49 orang lagi menerima rawatan di klinik sementara di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan klinik kesihatan Pasir Gudang,” katanya.

Katanya, sehingga kini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi-agensi lain sedang berusaha untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kita ke arah fokus (skop siasatan) yang lebih kecil lagi sekarang untuk melihat punca-puncanya, jadi Insya Allah nanti bila kita ketemu, kita akan maklumkan.

“Lagipun, ujian darah mangsa setakat ini menunjukkan semuanya negatif. Normal sahaja, tiada tunjuk kesan toksik,” kata beliau.

Mohd Khuzzan berkata, pihaknya mendapati kebanyakan pelajar yang terjejas adalah mereka yang berada di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah termasuk dalam kes Khamis lepas,” katanya. – Bernama