Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

SHAH ALAM – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menafikan dakwaan bahawa pihaknya mahu meminda Perlembagaan bagi membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya demi menambah kerusi DAP di Parlimen.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak akan sesekali membuat persempadanan yang memberi kelebihan kepada satu-satu parti sahaja tanpa mengambil kita parti komponen kerajaan pada hari ini.

“Ini semua cerita-cerita dogeng yang tak pernah dengar dan tak pernah kita bincang.

“Buat masa ini memang tiada satu perancangan untuk nak ubah persempandanan lebih-lebih lagi untuk kepentingan DAP.

“Kenapa kita nak beri kepentingan DAP, bukan DAP saja dalam PH, mesti kita nak ubah ikut kepentingan, Keadilan, Bersatu, kenapa nak kepentingan DAP,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mendakwa ada usaha untuk meminda Perlembagaan bagi membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akhirnya akan menambah kerusi DAP di Parlimen.

Ahmad Zahid mendakwa, cadangan persempadanan semula itu akan dibuat dengan menambahkan kerusi Parlimen di kawasan bandar.

Dakwanya, cadangan itu akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat Julai ini untuk meminda perlembagaan untuk menambah kerusi DUN dan Parlimen khususnya yang mempunyai lebih 100,000 pengundi.

Khalid juga menegaskan, isu tersebut sengaja direka-reka pembangkang yang ketandusan isu untuk menyerang Kerajaan PH.

“Bukan DAP terbanyak (kerusi) dalam PH pun, ini semua cerita merapu bila tiada isu dia reka-reka bawa isu kononnya.

“Dulu kita timbulkan dalam Kabinet kerana masalah persempadanan jelas kelihatan ada agenda sedangkan dia punya peraturan dan garis panduannya yang telah diberikan tak diikuti.

“Bila dia (BN) tak boleh tambah kerusi Parlimen, apa dia buat dia ubah persempadanan. Tiada sebab kita nak pinda atau ubah sekali pun persempadan sedia ada,” katanya.

Katanya lagi, jika wujud keperluan pindaan Perlembagaan bagi proses persempadanan semula, PH tidak akan sesekali mengulangi tindakan BN yang hanya memberi kelebihan kepada mereka sahaja.

“Insya-Allah, kita buat pun kita cuba buat seperti mana yang adil, seperti mana termaktub dalam Perlembagaan berhubung dengan garis panduan persempadanan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette