Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Bulanan di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2019

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka tidak berasa ragu-ragu dengan perancangan peralihan jawatan Perdana Menteri seperti mana termaktub dalam dokumen Muafakat Pakatan Harapan.

Bagaimanapun Presiden PKR itu berkata, pihaknya perlu menyatakan semula pendirian selepas timbul pelbagai spekulasi tentang peralihan itu.

Malah tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, PKR berpuas hati dengan proses transisi yang dilakukan ketika ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Memandangkan timbul persoalan yang berterusan mengenai peralihan ini, kami perlu untuk menyatakan semula pendirian kita dan menyatakan rasa puas hati dengan proses transisi oleh perdana menteri.

“Saya juga tiada keraguan mengenai peralihan ini dan bagi saya perkara ini telah dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenapa PKR menyatakan pendirian tersebut ketika pelbagai senario politik semasa timbul ketika ini.

Anwar memberitahu, mesyuarat telah memutuskan untuk terus memberikan sokongan terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir Mohamad terutama dalam memacu ekonomi negara.

“PKR memberi sokongan terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir untuk meneruskan usaha beliau dan jemaah menteri memacu ekonomi, melaksana reformasi institusi dan menjamin keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette