Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan menghantar laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) supaya UMNO dikenakan tindakan tegas kerana parti itu menerima RM212 juta dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, sebuah parti politik tidak boleh menerima wang haram untuk kepentingan parti dan UMNO harus dihukum atas salah laku berkenaan.

“Jika dahulu, Bersatu terpaksa dibubarkan oleh RoS pada saat akhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana isu teknikal.

“Malah, Bersatu sama sekali tidak dibenarkan untuk menggunakan nama dan logo parti untuk bertanding dalam PRU14.

“Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang (“rule of law”), RoS perlu menjatuhkan hukuman yang tegas kepada UMNO yang menerima wang haram RM212 juta yang juga telah diperakui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB yang mana 41 individu dan entiti dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

Menurut Latheefa, UMNO merupakan salah satu daripada responden yang menerima RM212 juta daripada RM270 juta dana 1MDB.

Syed Saddiq juga berkata, tindakan UMNO menyalahgunakan wang milik 1MDB seharusnya dikenakan tindakan undang-undang tegas dan keras.

“Pemuda Harapan juga ingin mengucapkan syabas kepada SPRM atas tindakan yang pantas dalam membanteras barah rasuah dan salah laku.

“Ini adalah salah laku besar daripada UMNO yang tegar mengamalkan kleptokrasi dan kronisme sepanjang memerintah Malaysia.

“(Perbuatan) UMNO yang mengalihkan dana berjumlah RM212 juta milik Kerajaan Malaysia kepada parti itu tanpa pengetahuan umum rakyat Malaysia.

“(Malah) UMNO telah menggunakan dana tersebut untuk tujuan politik kepartian dan faedah parti UMNO semata-mata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Muhiyidin Yassin, Mukhriz Mahathir, Mustapha Mohammad perlu bertanggung jawap kerana mereka juga terlibat ketika dalam UMNO.

Comments are closed.