Akmal Nasir
Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – Pendekatan jalan selamat yang diambil oleh UMNO berhubung pemulangan semula dana yang diterima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyebabkan parti itu kekal sama sahaja.

Sebelum ini, UMNO memberi alasan wang yang diterima sekiranya benar daripada 1MDB telahpun dibelanjakan dan yang tinggal sekarang wang yang ‘bersih’.

Sekarang pula, alasannya dana UMNO telah dibekukan maka tidak boleh dipulangkan balik.

Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir akui memahami bebanan dan cabaran yang dipikul oleh Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memulihkan UMNO.

Bagaimanapun, katanya, bagaimana UMNO boleh berubah sekiranya Mohamad terus dibayangi oleh pengaruh Datuk Seri Najib Razak.

“Mohamad Hasan mungkin ada ketokohan, tetapi pendekatan jalan selamat akan menyebabkan UMNO akan kekal sama sahaja,” katanya yang membalas kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu.

Semalam, Mohamad menyifatkan gesaan Akmal yang meminta UMNO memulangkan semula dana yang diterima daripada 1MDB sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, beliau menyarankan Akmal memberi cadangan yang kalau pun tidak bernas, sekurang-kurangnya ia rasional dan praktikal.

Mohamad yang menyanggah cadangan Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, pemfailan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk pengembalian dana yang kononnya dari 1MDB adalah satu proses undang-undang.

Berikutan itu, katanya, komitmen terbaik UMNO adalah untuk menghormati proses tersebut dan tidak melakukan sebarang campur tangan dan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu lagi, sekalipun dana yang diterima UMNO itu dibuktikan kelak sememangnya datang dari 1MDB, bagaimana untuk parti itu untuk pulangkan wang tersebut sedangkan dana UMNO sudah dibekukan oleh kerajaan.

Mohamad turut menegaskan beliau bukan dalam proses untuk bersaing dengan sesiapa pun kecuali fokusnya memulihkan dan mengukuhkan UMNO secara keseluruhan

Akmal yang mempertahankan cadangannya berkata, beberapa selebriti seperti Leonardo Di Caprio dan Miranda Kerr bertindak memulangkan barang yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB.

Malah, selebriti-selebriti itu juga memberi kerjasama kepada Jabatan Kehakiman untuk memberikan keterangan.

“Mungkin mereka sedar dana tersebut adalah wang rakyat dan mereka langsung tidak mahu terpalit atau bersubahat walaupun sebagai penerima sumber haram.

“Adakah kita boleh mengharapkan integriti dan etika yang sama?

“Mungkin kita kena faham bebanan dan cabaran Dato’ Seri Muhamad Hasan untuk memulihkan UMNO.

“Cuma saya mengharapkan kerajaan akan berjaya mendapatkan balik dana 1MDB dan dipulangkan kembali kepada rakyat Malaysia,” ujar Akmal. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. pemimpin umno sekarang orang baik. mereka akan patuh ikut undang2. tinggal lagi rakyat masih percaya atau tidak. Najib dah nyata tidak mengaku bersalah. zahid pun sama. inilah teras umno sebenarnya. bukan mat hasan

Comments are closed.