pasukan anggota bomba dan penyelamat menyelamatkan bayi 18 bulan yang terperangkap dalam kereta berkunci yang panas di taman orang awam di Essex, London.

ESSEX, United Kingdom – Bayi lelaki berusia 18 bulan menangis akibat kepanasan selepas terperangkap lebih sejam dalam kereta berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Mangsa disyaki dikunci oleh ibu bapanya dalam kereta Nissan Xtrail yang dibiarkan di tempat letak kereta di Saffron Walden, Essex, kelmarin.

Anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian memecahkan cermin pintu pemandu kenderaan itu untuk menarik keluar bayi lelaki yang menangis teresak-esak semasa diselamatkan.

Seorang wanita disyaki ibu kepada bayi malang itu datang  dengan seorang lagi anak lelakinya sebelum lari menuju ke arah ambulans St Johns yang menunggu untuk memberi bantuan kecemasan kepada bayi berkenaan berhampiran kenderaannya.

Polis kemudian meluangkan masa lebih setengah jam bercakap dengan wanita itu di belakang kenderaan kecemasan.

Saksi kejadian Cheryl Thomas, 42 berkata, mereka sedang lepak di taman berhampiran sebelum mendengar pengumuman daripada pembesar suara bahawa ada bayi yang sedang menangis ditinggalkan dalam sebuah kereta.

Ketika itu suhu mencecah 25 darjah celcius.

“Kami jelas boleh melihat insiden itu, di mana pasukan paramedik sedang berusaha mencari jalan untuk mengeluarkan bayi tersebut.

“Malah, orang awam juga mencari ibu bapa kepada bayi itu di sekitar kawasan, malangnya selepas 10 minit tiada tanda-tanda kemunculan ibu bapa bayi itu.

“Cuaca pun begitu panas dan bayi yang terperangkap sudah pasti tertekan dengan bahang dalam kenderaan yang dikunci,” katanya.

Tiket parkir kereta mendapati kenderaan itu ditinggalkan di tempat letak kereta lebih sejam lalu.

Cheryl meluahkan kemarahannya bagaimana ibu bapa masih boleh meninggalkan seorang bayi dalam kereta untuk tempoh lama.

“Siapa tahu wanita itu ke mana dan apa dia buat untuk lebih sejam itu tanpa menyedari anaknya ditinggalkan dalam kenderaan, melampau sangat,” bidasnya.

Menurut Keselamatan Kanak-Kanak Eropah, suhu kereta boleh meningkat kepada 10 hingga 15 darjah selsius setiap 15 minit dan membuka tingkap cermin tidak cukup membantu menurunkan suhu panas dalam kenderaan.

Jika suhu panas di luar adalah 22 darjah, maka kepanasan di dalam kenderaan boleh mencecah 47 darjah dalam tempoh sejam. – MalaysiaGazette