Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyanggah dakwaan yang mengatakan kerajaan sengaja mahu membankrapkan UMNO dengan menyuruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan melucutkan hak bagi mendapatkan semula wang milik 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

“Bukan itu (tujuannya).

“Jika kita mahu bankrapkan UMNO, dari dulu lagi kami dah buat, dari awal-awal lagi,” tegasnya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-20 di sini hari ini.

Dr. Mahathir juga sekali lagi mengulangi kenyataannya yang UMNO telah menggunakan wang dicuri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak daripada 1MDB, jadi dengan itu, parti berkenaan perlu memulangkan semula wang tersebut kerana ia milik kerajaan.

“Dia nak buat UMNO lain, dia boleh buat tetapi kalau dia buat salah, dia kenalah tindakan undang-undang.

“Apa yang berlaku dahulu, UMNO ambil duit yang dicuri untuk diagihkan kepada bahagian-bahagian.

“Duit yang dicuri ini mesti dibayar balik. Bukan bayar kepada UMNO tetapi kepada kerajaan kerana duit itu duit kerajaan.

“Duit ini dicuri oleh Najib.

“Kami membiarkan Najib bergerak bebas walaupun beliau telah didakwa.

“Beliau ke sana-sini menjadi “bossku”,” katanya lagi sambil merujuk persona yang dicipta oleh bekas Perdana Menteri keenam itu.

Semalam, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub mendakwa tindakan SPRM menggunakan saman sivil bagi mendapatkan semula wang 1MDB adalah salah satu usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membankrapkan UMNO.

Beliau mendakwa, aset-aset UMNO akan diletakkan di bawah Jabatan Insolvensi dan menuduh kerajaan menggunakan saman tersebut untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal yang melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.