Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media pada Majlis Jalinan Mesra YB Menteri Bersama Warga JBPM di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Lebuh Wawasan Presint 7, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2019

PUTRAJAYA – “Nasib baik bukan saya jadi presiden, kalau saya presiden saya dah pecat (Haziq).”

Itu reaksi Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kes Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abd Aziz yang mengaku beliau adalah individu dalam video seks songsang bersama seorang lelaki mirip seorang menteri.

Menurut Zuraida, pendiriannya amat jelas iaitu parti (PKR) mesti memecat Haziq, namun barisan pemimpin PKR masih mahu mengikut proses termasuk meminta Haziq menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sebelum ini telah mengutarakan penegasan bahawa Haziq mesti dipecat daripada parti.

Turut bersama memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri KPKT Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, surat tunjuk sebab itu dikemukakan kepada bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri itu kerana ia satu proses yang termaktub dalam Perlembagaan PKR.

“Sebab itu (surat tunjuk sebab) proses dalam perlembagaan parti sebelum kita pecat sesiapa kita kena ada proses tunjuk sebab.

“Jadi itu jalan yang dibuat parti (PKR),” katanya.- MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/19/haziq-tak-dipecat-cuma-kena-jawab-surat-tunjuk-sebab/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/19/amk-sanggah-lembaga-disiplin-desak-haziq-dipecat/