Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Desakan Otai Reformis agar Tun Dr. Mahathir Mohamad menetapkan tarikh menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya adalah berasas.

Menurut sumber, tuntutan itu hanyalah lebih kepada persoalan menunaikan janji yang telah diikat oleh Mahathir bersama pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU-14.

Tuntutan itu juga bersesuaian dengan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PKR dalam PRU-14 berbanding parti-parti komponen lain khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Ada benar desakan NGO Otai Reformis berkenaan pelan serahan kuasa oleh Mahathir kepada Anwar. PKR merupakan parti yang mempunyai ahli parlimen terbesar dalam PH dengan 50 orang berbanding PPBM

“26 ahli parlimen memang berhak membuat ‘tekanan dan tuntutan politik’ bagi jawatan PM untuk Anwar,” kata sumber kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sumber berkata, imej Ahli Parlimen Port Dickson itu yang sudah bersih daripada sebarang kes jenayah yang dihadapinya pada tahun 1998 membuktikan ia bukan lagi liabiliti yang boleh menghalang Anwar memegang jawatan tertinggi negara.

“Ia bukan menjadi suatu masalah besar kerana status Anwar sudah bersih daripada sebarang kes jenayah yang dikenakan ke atas beliau sejak 1998 dulu.

“Gerakan politik kotor yang dipalitkan kepada PKR dapat dibaca yang ia adalah usaha terancang memecahbelahkan kekuatan parti pelbagai kaum itu,” kata sumber.

Kepelbagian bangsa dan agama dalam kalangan ahli Parlimen PKR menunjukkan betapa dinamiknya parti itu dan ia secara tidak langsung boleh menggerunkan pesaing-pesaing politik dalam negara.

“PKR yang dipimpin dan diketuai oleh Anwar sudah berada di landasan betul ketika konsep ‘Malaysia Baru’ diperkenalkan oleh PH sejak 9 Mei lalu.

“Mana mungkin ciri-ciri Malaysia Baru itu dapat diaspirasikan melalui PPBM atau Amanah, apatah lagi DAP,” kata sumber.

Kata sumber lagi, taktik memecahbelahkan kekuatan dalaman itu juga telah digunakan ke atas Pas pada 2015 yang sebenarnya telah bermula selepas PRU-13.

“Ia sangat berkesan dan berjaya. Pas dipecahkan dengan proksi pro-Pakatan Rakyat (PR) disingkirkan. Akibatnya PR hancur berderai.

“Apakah keadaan politik yang melanda Pas pada tahun 2015 itu tidak menjadi ikhtibar kepada pemimpin-pemimpin utama PH?

“Kaedah-kaedah yang serupa juga sedang dilancarkan kepada PKR. Jika berantakan dalaman itu gagal diatasi, jangan terkejut PKR bakal mengalami nasib serupa dengan Pas,” kata sumber.

Tambah sumber, kebijaksanaan Anwar dan Datuk Seri Mohamed Azmin sangat diperlukan agar kekuatan PKR dapat dipertahankan dan tidak dirobohkan sifat dinamik politik parti itu.

“Apakah mereka dibutakan dengan ‘psywar’ kotor bahawa Anwar bakal merosakkan PH jika menjadi PM kelapan?

“Dakyah ini perlu dimatikan segera. Anwar adalah tokoh penyatuan sebenar rakyat pelbagai kaum. Ini watak kepada Bapa Bangsa Malaysia.

“Lantas logik penyerahan segera kuasa itu perlu lagi wajar supaya ia PH kekal relevan seiring dengan kehendak rakyat memerlukan anjakan baru buat Malaysia,” kata sumber lagi. – MalaysiaGazette