Petronas
iWan Zulkiflee Wan Ariffin. foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Tidak banyak pelaburan yang dibuat dalam projek besar sektor minyak dan gas.

Ini berlaku terutamanya bagi projek-projek yang memakan masa lama dan akan memberi kesan kepada industri dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, kekurangan pelaburan dalam projek-projek besar itu berlaku ketika industri minyak dan gas mengalami kemerosotan.

“Semasa harga minyak rendah, saya tidak nampak ada pelaburan yang mencukupi dibuat untuk minyak dan gas terutamanya melibatkan projek-projek yang memerlukan tempoh yang lama (untuk mendapatkan hasil).

“Saya rasa kita akan mula melihat kesannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Walaupun permintaan jangka pendek boleh dipenuhi melalui projek-projek tidak konvensional tetapi sebagai sebuah industri, kita terpaksa meningggalkan projek-projek mega ini,” katanya semasa menjadi panel dalam Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-20 di sini hari ini.

Tambah Wan Zulkiflee, Petronas mendapat manfaat apabila membuat keputusan melabur dalam dua projek mega iaitu loji petrokimia RAPID di Pengerang, Johor yang bernilai AS$16 bilion serta satu lagi projek gas asli (LNG) di Kanada yang mana syarikat petroleum negara itu memiliki 25 peratus kepentingan.

RAPID yang mempunyai kapasiti penapisan sebanyak 300,000 tong sehari dijangka memulakan operasi komersial pada hujung tahun ini.

“Kami memulakan projek tersebut ketika harga minyak betul-betul rendah pada 2013.

“Kami mendapat sedikit manfaat daripadanya kerana kami mendapat harga yang sangat bagus dan kompetitif daripada kontraktor dan ia sangat membantu projek tersebut.

“Kami mengambil kira pandangan positif terhadap permintaan petrokimia. Pastinya ada naik-turun (dalam permintaan) tetapi saya rasa trend harga akan terus menaik,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapan aluannya sempena persidangan tersebut, Wan Zulkiflee berkata, mereka perlu aktif membentuk halatuju industri di samping mempersiapkan diri menghadapi permintaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah.

Katanya, landskap tenaga baharu memerlukan kerjasama yang lebih besar bukan sahaja dalam kalangan pemain industri tetapi juga dengan industri-industri lain bagi mencipta satu penyelesaian efisyen dari segi pengurusan kos, meningkatkan kepuasan pelanggan dan mencipta nilai yang lebih tinggi.

Syarikat tenaga jelasnya, perlu meneroka pakatan-pakatan bukan tradisional bagi mendapatkan penyelesaian yang lebih inovatif bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan produk yang lestari dan mesra alam.

Tambahnya, di Petronas, mereka sentiasa mencari peluang-peluang baharu untuk mengukuhkan perniagaan.

Ini termasuk mengoptimumkan penggunaan digital dan analisis data supaya dapat menambah baik kecemerlangan operasi.- MalaysiaGazette