Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Maju di South Lake Residence, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang perbincangan mengenai jawatan perdana menteri antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang diadakan petang tadi.

Sebaliknya, mereka berdua hanya membincangkan perkara-perkara biasa sahaja tanpa menyentuh isu yang menjadi topik hangat ketika ini, kata Mahathir.

“Tidak ada apa-apa, hanya bincang perkara biasa sahaja,” kata Perdana Menteri kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Maju Holdings di sini hari ini.

Mahathir menjawab demikian ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Anwar petang tadi.

Dalam satu majlis di Kementerian Kewangan hari ini Anwar memberitahu, akan bertemu Mahathir selepas majlis tersebut.

Terdahulu, Anwar menyatakan rasa puas hati dengan jawapan yang diberikan Mahathir berhubung penyerahan jawatan perdana menteri.

Malah, beliau menganggap isu tersebut telah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Persoalan mengenai tarikh beliau akan berundur dan siapa bakal penggantinya mula menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Walaupun sebelum ini pernah mengumumkan bahawa Anwar akan menggantikannya, timbul spekulasi bahawa Mahathir mahukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataannya semalam apabila ditemui media asing ketika lawatannya di Bangkok apabila memberitahu hanya akan meletak jawatan dalam masa tiga tahun sebelum menyerahkan tugas kepada Anwar yang juga Presiden PKR, Mahathir menafikan beliau ada berkata demikian.

Ujarnya, beliau hanya hendak membetulkan kerja terlebih dahulu sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

“Saya tidak kata tiga tahun, saya hendak membetulkan kerja,” ujarnya. – MalaysiaGazette