Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi dicabar untuk menubuhkan segera Siasatan Diraja (RCI) berhubung hal ehwal kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki mendakwa, sejak awal penubuhan sehinggalah hari ini tidak pernah dilaporkan Tabung Haji mengalami kerugian.

Bahkan bermula pada tahun 2009, keuntungan bersih Tabung Haji setelah ditolak cukai dan zakat melangkaui angka lebih RM1 billion.

Tegas beliau, jika benar akaun Tabung Haji dimanipulasi, Jabatan Audit Negara adalah badan pertama perlu keluarkan kenyataan kerana selama ini jabatan itu yang mengaudit akaun dan laporan kewangan Tabung Haji.

Parlimen juga harus bertanggungjawab kerana akaun Tabung Haji dibentangkan dan diluluskan setiap tahun.

“Tiba-tiba naik YB Menteri, TH dikatakan rugi, akaun ditipu dan macam-macam tuduhan dan dakwaan. Sebab itulah yang terbaik tubuhkan segera RCI sebagaimana janji Pakatan Harapan juga dalam manifesto mereka. Biar rakyat mengetahui cerita sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusoff di Kursus Perdana Haji mengenai kedudukan akaun Tabung Haji.

Menurut Asyraf, kursus itu tidak sepatutnya dijadikan medan propaganda politik untuk menghasut bakal-bakal jemaah supaya marah dengan kerajaan dan pengurusan Tabung Haji terdahulu.

Beliau turut mahu Mujahid berhenti mempolitikkan kursus tersebut.

“Biarkan bakal-bakal jemaah memfokuskan kepada hal-hal berkaitan penyempurnaan ibadah Haji dan bukannya dipaksa mendengar ceramah politik Kekanda mengapi-apikan perbalahan dan prejudis.

“Kadang-kadang terdetik, siapa sebenarnya pembangkang atau kerajaan ini?,” katanya. – MalaysiaGazette