Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Keengganan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melakukan ujian poligraf berhubung video seks di luar tabii sebenarnya menolak peluang untuk beliau membuktikan menjadi mangsa fitnah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, di dalam Islam, apabila mana-mana penganutnya dituduh dan tiada cara lain bagi membuktikan tidak bersalah, mereka dibolehkan untuk bermubahalah.

“Jika Azmin bersetuju untuk bermubahalah dengan melafazkan sumpah dengan kalimah Wallahi, Wabillahi, Wattallahi bahawa individu di dalam video itu bukan beliau, sudah pasti rakyat boleh menerima keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengekalkannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Malangnya, Azmin telah menolak peluang untuk membuktikan beliau difitnah dan bukan pelaku seks luar tabii apabila menolak saranan melakukan ujian poligraf dan menolak saranan agar beliau bermubahalah.

“Maka dengan dua penolakan ini, Azmin secara tidak sengaja mengakui bahawa beliau adalah individu di dalam video seks luar tabii itu apabila beliau tidak dapat menafikannya dengan bersumpah atau menjalani ujian poligraf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin hari ini yang menyanggah gesaannya agar Ahli Parlimen Gombak itu menjalani ujian poligraf sambil mempersoalkan pemimpin UMNO itu yang mahu mencampuri siasatan pihak polis.

Sebaliknya, Mohamed Azmin menyifatkan UMNO sebagai parti politik yang terkenal sebagai penyebar fitnah dan mereka tidak layak mencampuri proses siasatan yang masih berjalan itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Video seks: ‘Cicak mengkarung’ bukan penentu proses siasatan – Azmin