Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin beramah mesra dengan sebahagian kakitangan warga JBPM pada Majlis Jalinan Mesra YB Menteri Bersama Warga JBPM di Ibupejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Lebuh Wawasan Presint 7, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2019

PUTRAJAYA – Pencemaran udara Pasir Gudang yang mengakibatkan pelajar sekolah sesak pernafasan sejak 20 Jun lalu adalah akibat kesan pembuangan sisa toksik Sungai Kim Kim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata sisa toksik yang dibuang dalam sungai Kim Kim di daerah itu masih belum dibersihkan sepenuhnya.

“Saya dapat maklumat daripada pasukan Bomba dan Penyelamat bahawa kes ini kes berulang dari kes di Sungai Kim Kim yang berlaku 7 Mac lalu.

“Saya difahamkan sisa toksik itu belum dihapuskan 100 peratus. Oleh kerana itu sisa toksik terbabit didapati agak terbiar di Pasir Gudang, disebabkan angin dan hujan kita percaya dia merebak kembali.

“Ya memang didapat sah ia kesan toksik Sungai Kim Kim,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di ibu pejabat jabatan itu tengahari tadi.

Turut memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri KPKT Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, kerajaan komited untuk memastikan bahawa kerja membersihkan dan menghapuskan sisa toksik harus dilaksanakan secepat mungkin.

“Jadi, bomba kena pastikan isu ini diselesaikan, dan peringkat Jabatan Alam Sekitar  pastikan bahan yang patut dilupuskan perlu dilupuskan dengan baik,” katanya.  – MalaysiaGazette