TNB
Shahazwan Harris

KUALA LUMPUR- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pelantikan Shahazwan Harris sebagai Ketua Pegawai Antarabangsa yang akan memimpin sebuah bahagian baharu iaitu Kumpulan Aset Antarabangsa (IAG) berkuatkuasa 1 Julai ini.

IAG adalah sebuah bahagian yang baharu ditubuhkan di TNB bagi mengembangkan prospek pertumbuhan usahasama dengan syarikat luar negara.

Menurut syarikat utiliti itu dalam satu kenyataan di sini hari ini, Shahazwan ketika ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi di UEM Edgenta Bhd.

Beliau mempunyai 23 tahun pengalaman dalam bidang pelaburan, penggabungan dan pengambilalihan, portfolio dan pengurusan aset, serta strategi dan penstrukturan korporat semula.

Shahazwan merupakan penerima biasiswa TNB dan pernah berkhidmat bersama syarikat selama empat tahun sejak 1996.

Beliau kemudiannya bekerja di PA Consulting Group, Boston Consulting Group sebelum menyertai Khazanah Nasional Berhad pada 2005 sehingga 2016.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai lembaga pengarah sebuah syarikat senaraian awam New Zealand, Cenviro, Opus International Consultants Limited dan UEM Edgenta Berhad; selain menjadi penasihat kepada Bain & Co (Kuala Lumpur/Asia Tenggara) dan Temasek International (mengenai kemampanan dan pelaburan berimpak).

Ketika ini Shahazwan merupakan seorang ahli lembaga pengarah UMW Holdings Berhad dan juga ahli jawatankuasa penasihat StashAway, sebuah platfom penasihat robo di Singapura dan Malaysia.

“Penglibatannya dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, teknologi, utiliti, penerbangan, pembangunan mampan (termasuk tenaga boleh diperbaharui), minyak dan gas serta penjagaan kesihatan amat bernilai kepada strategi jangka panjang TNB untuk menjadi antara 10 Utiliti Global teratas pada 2025.

“Pengurusan TNB yakin pengetahuan, pengalaman dan pendedahan yang diperolehi Shahazwan mampu mendukung pertumbuhan masa depan perniagaan IAG.

“Penglibatan antarabangsa TNB ketika ini merangkumi pemilikan ekuiti dalam aset berkaitan tenaga di United Kingdom, Turki, India, Arab Saudi dan Pakistan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan. -MalaysiaGazette