BELO HORIZONTE, Brazil – Angel Mena memadamkan gol pembukaan Jepun yang dijaringkan Shoya Nakajima pada separuh masa pertama perlawanan kumpulan C Copa America pagi tadi.

Ecuador dan Jepun yang masing-masing mencari kemenangan untuk mara ke pusingan seterusnya mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 1-1 yang menyaksikan kedua-dua pasukan tersingkir.

Kemenangan akan membolehkan pasukan terbabit sama ada mara sebagai salah sebuah pasukan yang menduduki tangga ketiga terbaik kejohanan itu, namun kini Ecuador dan Jepun boleh pulang awal.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan kurang meyakinkan dan terburu-buru dengan mencuba nasib menerusi percubaan jarak jauh.

Bagaimanapun, jepun berjaya memperolehi gol pendahuluan pada minit ke-15 menerusi Nakajima.

Sepakan penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez untuk mengeluarkan bola daripada kotak penalti menuju ke arah Nakajima yang dengan tenang melambungkan bola ke arah gol pada jarak 25 meter ketika penjaga gol telah terkeluar jauh daripada kedudukannya.

Enner Valencia sepatutnya menjaringkan gol penyamaan lapan minit selepas itu namun percubaan jarak dekatnya lemah dan diselamatkan Eiji Kawashima .

Bagaimanapun pasukan daripada Amerika Selatan itu berjaya menyamakan kedudukan 10 minit sebelum separuh masa pertama berakhir menerusi Mena.

Tendangan volley Robert Arboleda ditepis Kawashima namun bola yang melantun ke arah Mena dikuis pemain itu untuk mengikat kedudukan.

Walaupun Ecuador bermain dengan lebih baik pada separuh masa kedua namun Jepun hampir mendahului menerusi tandukan Naomichi Ueda pada minit ke-66.

Percubaan pemain Ucuador, Pedro Pablo Velasco tersasar jauh pada pertengahan separuh masa kedua dan kedua-dua pasukan terus buntu dalam mencari gol kemenangan sehingga wisel penamat ditiup.

Malah Daizen Maeda yang hanya berhadapan dengan penjaga gol pada minit ke-90 turut gagal membantu Jepun memenangi perlawanan tersebut.

Berikutan keputusan itu, Uruguay dan Chile mara ke pusingan kalah mati. – Agensi